Thursday, August 5, 2010

Pemandu Teksi Diugut Kerat Kaki oleh 'Along'

KUALA LUMPUR: Gara-gara berhutang dengan ceti haram atau along, seorang pemandu teksi nyaris cedera dibelasah dua samseng upahan selain diugut dipotong tangan dan kaki jika tidak mampu membayar ‘bunga ’pinjaman yang melebihi RM15,000.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam kelmarin sejurus mangsa berusia 52 tahun itu didatangi dua lelaki ketika berehat di rumahnya di Lembah Maju, Ampang, di sini. “Suspek yang dipercayai samseng upahan along meminta mangsa membayar hutangnya dengan memberikan tempoh tiga hari saja.


“Mangsa turut diugut dipotong sebelah kaki dan tangannya jika hutang itu gagal dibayar dalam tempoh ditetapkan. “Mangsa kemudian dipukul dan ditendang bertubi-tubi,” katanya.


Menurutnya, mangsa yang membuat laporan polis mendakwa pernah berhutang RM5,000 daripada along dan sudah melangsaikan hutang berkenaan mencecah RM15,000, namun bayaran itu dianggap belum mencukupi oleh along berkenaan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan kepada mangsa. Dalam kejadian berasingan, seorang lagi pemandu teksi disamun penumpangnya di Taman Mawar, Ampang, di sini, kira-kira jam 10 malam Isnin lalu.


Sumber berkata, mangsa berusia 46 tahun ketika itu membawa seorang penumpang dari Ampang Jaya menghala ke Jalan Bunga Mawar sebelum penumpang berusia 40 tahun itu tiba-tiba mengugut mangsa menyerahkan barang berharga.


“Difahamkan, suspek cuba menyerang mangsa menggunakan batang besi. Mangsa cuba mempertahankan diri sebelum dipukul dan berlaku pergelutan antara mereka,” katanya.


Menurutnya, mangsa dan lelaki yang menyerangnya kemudian ditemui polis yang melakukan rondaan cegah jenayah dalam keadaan terbaring berlumuran darah di tengah jalan raya.


“Turut ditemui, satu besi panjang dipercayai senjata digunakan untuk mencederakan mangsa,” katanya.

No comments:

Post a Comment