Thursday, August 5, 2010

Orang ketiga jadi punca? - raja azura dan adzim

SUDAH jadi lumrah, kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Ayat itu memang sangat klise tapi yang klise itulah selalunya menjadi betul. Ketika ini, Raja Azura dan suaminya, Adzmin Osman, menjadi perhatian apabila nama mereka dilaporkan sudah didaftarkan di Mahkamah Syariah Shah Alam.


Kalau sebut nama Mahkamah Syariah, orang kita akan terus berasa gerun, trauma dan fobia. Orang akan terus ingat ia tentu ada kaitan dengan permohonan cerai. Bagi SS, itu hanyalah jalan terakhir kerana jalan awal penyelesaiannya adalah mendapat khidmat nasihat mengenai cara menyelamatkan rumah tangga yang sedang bergolak.


Jadi mungkin itulah tujuan sebenar Kak Engku mengajak suaminya ke Mahkamah Syariah yakni untuk berbincang secara tertutup dengan pakar agama yang tahu hukum-hakam hidup rumah tangga.


SS dan warga Harian Metro bersimpati jika Kak Engku dan Adzmin kini tertekan kerana semua wartawan sedang mengejar mereka. Kebetulan sehari dua ini, Kak Engku nampaknya begitu sibuk dengan tugas penyampai radio dan menjadi pengacara program di sana-sini. Jadi telefonnya tidak berjawab walaupun ramai yang mencarinya untuk mendapatkan kepastian.


Namun sumber yang rapat dengan Kak Engku tidak menolak pengacara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) itu berdepan dengan kemelut rumah tangga sejak sekian lama, namun dia sentiasa bersabar kerana sangat sayangkan suami serta tiga anak mereka, berusia antara lima hingga lapan tahun. Memang comel-comel anak Kak Engku dan Adzmin itu.


Ironinya, ketika Harian Metro menganjurkan acara Konsert Karnival Gegaria 2010 di Muar, Johor baru-baru ini. Kak Engku datang bersama Adzmin yang memandu kenderaan mereka sekeluarga. Malah rakan SS nampak mereka berdua macam biasa saja, bergelak, bertampar dan duduk melepak bersama anak di belakang pentas. Jadi, memang tak masuk akal kalau orang kata mereka bergaduh.


Namun SS tak pasti pula, semua itu sekadar satu 'lakonan' atau memang semuanya OK. Sebenarnya ketika itu pun, gosip rumah tangga mereka mula tersebar ke telinga pihak media. SS sedar, Kak Engku jenis orang yang tidak suka kecoh-kecoh. Kalau ada masalah pun, dia lebih suka berdiam diri kerana sentiasa mahu melindungi keluarganya yang sangat disayangi itu. Biasalah, pasangan mana yang tak pernah bergaduh kerana ia asam garam hidup sebagai suami isteri.


Yang tidak sedapnya, terbit ada pula khabar angin terbaru mengatakan pergolakan Kak Engku dan suaminya itu disebabkan ada orang ketiga. Siapakah orang itu, SS tak boleh cakap. Cuma SS amat berharap, walau apa pun terjadi, Adzmin akan terus setia bersama Kak Engku kerana mereka berkahwin dulu pun atas dasar sama-sama cinta hingga dikurniakan tiga anak yang bijak.


Jadi, misteri nama Kak Engku terbit di Mahkamah Syariah itu hanya diketahui tuan tubuh saja. Seperti SS katakan tadi, mungkin kerana mereka mahu mendapatkan kaunseling semata-mata. Biarlah mereka menyelesaikan masalah dengan tenang dan SS tetap doakan yang terbaik buat mereka.

No comments:

Post a Comment