Monday, August 9, 2010

Orang Kaya Tak Perlu Diskaun - Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim

Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim membidas pemimpin Umno kerana mengkritik Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang mencadangkan pemansuhan tujuh peratus diskaun bumiputera untuk pembelian hartanah mewah.

Tunku Aziz berkata dia terkejut melihat reaksi Pemuda Umno yang membuat laporan polis berhubung cadangannya itu, manakala Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tidak terkecuali mengeluarkan kenyataan keras.

Semasa sesi dialog belanjawan kerajaan negeri Selangor pada Julai lalu, Pua menyarankan diskaun bumiputera harus hanya disalurkan kepada hartanah murah dan sederhana bagi membantu bumiputera berpendapatan rendah.

Pua berkata diskaun tidak perlu diberikan untuk hartanah mewah bagi memacu pelaburan dan persaingan antarabangsa, selain kerana golongan kaya mampu memilikinya tanpa potongan harga.

Bahkan diskaun berkenaan hanya menyaksikan pembeli rumah bumiputera menjadi orang tengah kepada pembeli bukan bumiputera yang mengambil kesempatan ke atas diskaun tujuh peratus untuk membeli hartanah mewah.

“Yang pasti, Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan bahawa Melayu berhak mendapatkan diskaun untuk membeli hartanah mewah yang bernilai jutaan ringgit,” kata Tunku Aziz.

Pemuda Umno mendakwa cadangan Pua itu berbaur hasutan dan mencabuli Perlembagaan Persekutuan serta kontrak sosial.

Sementara, Najib pula menuduh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu mencetuskan rasa marah di kalangan orang Melayu serta mengancam keamanan awam.

Tunku Aziz meragui motif Umno mempertahankan diskaun diberikan kepada hartawan kaya-raya walhal ia sepatutnya digunakan untuk golongan marhaen.

"Kita mahu memastikan 40 peratus daripada bumiputera yang berpendapatan rendah mendapat manfaat dari dasar afirmatif. Diskaun pembelian hartanah mewah adalah antara perkara utama yang disalah-gunakan di bawah Dasar Ekonomi Baru," jelas Tunku Aziz.

No comments:

Post a Comment